Edit

Contact Info

  • No.8, 1st Floor, Jalan ST 1C/7, Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, 43900 Sepang.
  • 019 - 540 8741
  • Monday - Friday (星期一至星期五): 9.00AM to 5.00PM
    Saturday: subject to appointment (需要预约)

ARTICLE: IKAT JAMIN DI MAHKAMAH

 

DEFINISI

Apakah itu ikat jaminan di Mahkamah?  Ia adalah pelepasan sementara orang yang dituduh dengan mengemukakan cagaran yang mencukupi dan akujanji penjamin untuk memastikan kehadiran orang yang dituduh pada setiap kali perbicaraan di Mahkamah nanti. Penjamin perlu menandatangani satu jenis borang yang dipanggil sebagai bon jaminan. Syarat-syarat ikat jamin dan jumlah penjamin adalah atas budi bicara Mahkamah dan ia adalah berlainan mengikat jenis kesalahan kes terlibat dan fakta kes tersebut.

 

 

 

ISI KANDUNGAN

 

Persoalannya adalah adakah semua kes boleh diikat jamin? Sebenarnya, ia boleh dikategorikan kepada tiga jenis kesalahan iaitu kesalahan yang boleh diikat jamin, [1] kesalahan yang tidak boleh diikat jamin dan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin langsung.[2] Untuk kategori pertama iaitu kesalahan yang boleh diikat jamin, seseorang yang dituduh di bawah kesalahan-kesalahan kategori ini adalah berhak untuk dilepaskan dengan ikat jamin. Seksyen 2 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan “kesalahan yang boleh dijamin” ertinya suatu kesalahan yang boleh dijamin di dalam Jadual Pertama Kanun Tatacara Jenayah atau yang boleh dijamin oleh mana-mana juga undang-undang lain yang sedang berkuatkuasa. Apabila seseorang itu dituduh di Mahkamah, mahkamah akan menentukan jumlah ikat jamin dan jumlah penjamin. Jika tiada penjamin, maka tertuduh akan ditahan di penjara sehingga kes selesai dibicarakan. Mengikut seksyen 389 Kanun Tatacara Jenayah, amaun ikat jamin tersebut adalah ditentukan oleh Mahkamah berkaitan. Tujuan bon jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di Mahkamah kelak sehingga kes dibicarakan selesai. Bagi kesalahan-kesalahan yang tidak boleh diikat jamin merupakan kesalahan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup. [3] Walau bagaimanapun, ikat jamin masih boleh dipohon dan dibenarkan atas budi bicara Mahkamah. Kuasa Mahkamah untuk memberi jaminan ke atas tertuduh yang dituduh dengan kesalahan yang tidak boleh dijamin mengikut seksyen 388(1) Kanun Tatacara Jenayah adalah tidak dibenarkan melainkan didapati ada alasan munasabah, dan sebagai contohnya, seseorang di bawah umur 16 tahun, wanita dan orang sakit atau tidak berupaya. Ini bermaksud sesiapa yang dituduh dengan kesalahan tidak boleh dijamin adalah tidak berhak kepada jaminan sebagai suatu hak. Selain itu, sekiranya pihak Pendakwa Raya berjaya menunjukkan adanya kebarangkalian untuk tertuduh melakukan kesalahan yang sama ataupun kesalahan lain di dalam tempoh ikat jamin jika ikat jamin dibenarkan. Di dalam hal ini, masyarakat umum perlu dilindungi dari sebarang kebarangkalian berlakunya perkara tersebut. Dengan kata lain, kepentingan umum perlulah didahulukan. Maka, ikat jaminan adalah tidak dibenarkan oleh Mahkamah dalam situasi tersebut. Akan tetapi pemberian ikat jaminan adalah budi bicara Mahkamah dan kuasa budi bicara ini hendaklah dijalankan dengan bijaksana dan bergantung kepada keberatan kesalahan berkenaan. Manakala bagi kesalahan-kesalahan yang tidak boleh diikat jamin langung adalah seperti kesalahan pengedaran dadah di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana ikat jamin adalah tidak dibenarkan langsung dan tertuduh hendaklah ditahan di penjara sehingga kes selesai.

 

Secara lazimnya, syarat-syarat untuk menjadi seorang penjamin adalah seorang dewasa iaitu melebihi had umur 18 tahun ke atas[4], berkemampuan mengemukakan jumlah ikat jamin yang ditetapkan oleh Mahkamah, menandatangani bon jaminan dan apa-apa syarat lain yang ditetapkan oleh Mahkamah mengikut seksyen 390 Kanun Tatacara Jenayah. Tanggungjawab utama penjamin adalah untuk menentukan kehadiran tertuduh di Mahkamah pada setiap tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah. Dalam keadaan tertuduh gagal hadir ke Mahkamah berkaitan, maka penjamin perlu hadir ke Mahkamah pada tarikh tersebut untuk menjelaskan sebab ketidakhadiran tertuduh ke Mahkamah dan membawa dokumen berkaitan untuk membuktikan perkara ketidakhadiran tersebut. Jika penjamin gagal mematuhi mana-mana syarat jaminan dalam bon jaminan Mahkamah, jaminan boleh dilucuthak oleh Mahkamah. Sungguhpun demikian, Mahkamah mempunyai budi bicara sama ada untuk melucuthak keseluruhan jaminan atau sebahagiannya atau tidak sama sekali selepas Mahkamah mendengar penjelasan daripada penjamin sendiri. Dalam keadaan tertentu, penjamin boleh memohon kepada Mahkamah agar tidak menjadi lagi penjamin kepada tertuduh tersebut dalam sesuatu kes di bawah seksyen 393 Kanun Tatacara Jenayah di mana Mahkamah ada budi bicara untuk melepaskan sebahagian atau keseluruhan wang jaminan kepada Penjamin jika Penjamin dapat membuktikan kepada Mahkamah bahawa Penjamin menpunyai justifikasi yang sewajarnya. Dalam keadaan sebegini, tertuduh akan ditahan di penjara kemudiannya melainkan tertuduh dapat mencari seorang penjamin ganti dalam kes tersebut.

 

Bentuk-Bentuk cagaran yang diterima oleh Mahkamah adalah seperti akaun simpanan tetap, akaun simpanan dan geran tanah. Faktor-faktor yang selalu dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam menentukan jumlah ikat jamin adalah seperti berikut:

 

  1. Keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh;
  2. Hukuman kesalahan tersebut;
  3. Kecenderungan tertuduh melarikan diri sekiranya dilepaskan dengan jaminan;
  4. Sama ada tertuduh mempunyai rekod sabitan lampau;
  5. Sama ada tertuduh akan menghampiri saksi-saksi pendakwaan dalam kes ini;
  6. Latar belakang dan keadaan keluarga tertuduh;
  7. Kepentingan awam.

 

KESIMPULAN

 

Sungguhpun demikian, memang tidak boleh dipertikaikan bahawa Mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberi pertimbangan sama ada memberi jaminan atau tidak bagi kesalahan yang tidak boleh dijamin (non-bailable) sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 388(1) Kanun Tatacara Jenayah. Menurut seksyen 388(2) Kanun Tatacara Jenayah, pemberian ikat jamin boleh dibuat pada bila-bila masa dan tiada had ditetapkan bagi perintah sedemikian walaupun pada sebelum ini jaminan telah tidak diberikan asalkan boleh dibuktikan terdapat perubahan fakta yang relevan. Selain itu, parti-parti yang terkilan dan tidak berpuas hati terhadap keputusan ikat jaminan yang diputuskan oleh Mahkamah boleh membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi di bawah seksyen 394 Kanun Tatacara Jenayah dalam kes tersebut.

 

RUJUKAN

 

[1] Kanun Prosedur Jenayah (pindaan 1999) [Akta 593], Seksyen 387

[2] Kanun Prosedur Jenayah (pindaan 1999) [Akta 593], Jadual Pertama Kanun Tatacara Jenayah

[3] Kanun Tatacara Jenayah (pindaan 1999) [Akta 593], Seksyen 388(1)

[4 Akta Umur Dewasa 1971 [Akta 21], seksyen 2

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WhatsApp chat